Info ASiS

SEJARAH

SM Sains Alam Shah merupakan salah satu daripada 3 buah Sekolah Berasrama Penuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sebuah daripada 6 buah Sekolah Berasrama Penuh Putera di Malaysia.

Kampus SM Sains Alam Shah terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Kedudukannya sangat kondusif dari segi peranannya sebagai sebuah institusi pendidikan putera. Kampus SM Sains Alam Shah terletak di atas tapak seluas 34 hektar menampung 3 blok bangunan sekolah dan pentadbiran, 4 blok asrama, 1 dewan makan, 1 apartmen guru, 1 apartmen staf sokongan, sebuah banglo pengetua dan 6 kuaters guru.

SM Sains Alam Shah mula menerima pelajar sulung seramai 84 orang dalam tingkatan 4 pada 16 Jun 2003. Pemilihan pelajar adalah berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari seluruh negara. Kumpulan pertama pelajar ASiS ini telah menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun 2004. Jumlah calon ialah 84 orang.

Pengetua pertama ialah Tn. Hj. Mohd Idrus bin Abdul Hamid yang mulai bertugas pada 16.6.2003 hingga sekarang. Beliau dibantu oleh Timbalan Pengetua (Akademik), En. Razmi bin Abdul Razak yang memulakan tugasnya pada 1.9.2003, Timbalan Pengetua (Hal Ehwal Pelajar) ialah En. Ahmad Shafrin bin Abd Aziz yang mula bertugas mulai 16.12.2003 dan Timbalan Pengetua (Kokurikulum), En. Rijaludin bin Che Mat yang memulakan tugasnya pada 1.1.2004 hingga sekarang.

Guru-guru perintis ASiS pula adalah seramai 13 orang yang mulai berkhidmat di ASiS pada 16 Jun 2003. Merekalah yang telah bertungkus- lumus mengggembleng tenaga dan keringat bagi memastikan ASiS dapat melaksanakan proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) walaupun dalam serba kekurangan. Guru lapisan kedua mula melapor diri pada 16.9.2003 iaitu seramai 12 orang. Kehadiran guru-guru ini menambah bilangan ahli keluarga ASiS yang sedia ada.

Kini, warga ASiS semakin bertambah. Pada tahun 2009 ini, jumlah guru ASiS adalah seramai 51 orang, manakala staf sokongan pula seramai 22 orang. Bilangan pelajar pula mencecah hampir 600 orang. Dalam tempoh enam tahun ini juga, ASiS telah mengukir pelbagai kejayaan sehingga bukan sahaja dikenali di peringkat kebangsaan malah di peringkat antarabangsa.

MISI

Sekolah menengah Sains Alam Shah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan yang membangunkan modal insan yang berkualiti berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara.

VISI

Menzahirkan pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah bertaraf dunia menjelang tahun 2010.

LOGO

Bentuk Logo
Bulat : Sekolah bersifat global
Komputer : Teknologi Maklumat
Atom :  Ilmu Sains
Buku Terbuka  : Ilmu pengetahuan

Warna
Jalur 3 Warna : Budaya Kecemerlangan
Warna Biru : Perpaduan
Warna Kuning : Kesetiaan
Warna Merah : Semangat Jati Diri
Warna Hijau : Kemakmuran
Warna Putih : Kesucian

LAGU SEKOLAH

Marilah pelajar kita semua,
Menuntut ilmu amalan mulia,
Samalah kita usaha sampai berjaya,
Itulah harapan semua.

Kamilah penuntut yang setia,
Rajin usaha asas kita semua,
Bersatu kita teguh usaha bersama,
Majulah Sains Alam Shah.

(Chorus)
Dengarlah dan ingatlah,
Pesanan semua,
Harapan ayah bonda,
Semoga berjaya.

Kamilah penuntut yang setia,
Rajin usaha asas kita semua,
Bersatu kita teguh usaha bersama,
Menuju cita semua.

Print Friendly

Leave a Reply